Apa Itu MSPO ?.
Persoalan yang sering pihak PPOM dapat daripada Pakcik-Pakcik tua yang menjadi Pembekal Buah Tandan segar (BTS). Mereka cuma Pekebun Kecil yang nilai pendapatan tidaklah begitu besar seperti Estet-estet besar dan gah di luar sana. Oleh kerana kami selaku Pihak Kilang yang perlu memastikan setiap Pembekal BTS yang menghantar BTS kepada kami memiliki Persijilan MSPO, kami akan bertanya, "Pakcik/Makcik/Abang/Kakak, sudahkah kita memohon MSPO?." "Apa status MSPO kita Pakcik?" dan mereka menjawab, "MSPO itu apa?".
Itu dulu...
Kini, ramai yang sudah mulai tahu apa itu MSPO. Kami selaku pihak kilang sering memberi maklumat secara lisan dan santai supaya lebih mudah di fahami oleh mereka. Kadangkala Tuan Pengurus kami, En. Asri Bin Tatoh duduk bersama pekebun kecil bercerita mengenai MSPO. Itu pendekatan yang dirasakan lebih selesa dan tepat buat mereka. Maklum sahaja separuh daripada pekebun kecil adalah orang kampung yang hanya sibuk dengan kehidupan menyara keluarga. Ladang Sawit itulah sumber utama mereka. lagi pula, pendapatan mereka tidak begitu besar, cukup apa yang ada. Berbeza dengan sebilangan pekebun kecil yang lain. Ramai terdiri daripada golongan yang mempunyai kerja tetap dan berpendidikan tinggi. Ladang sawit mereka di jadikan sebagai sumber pendapatan sampingan.
Pihak kami ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai MSPO. Menurut Laman http://www.mpob.gov.my, MSPO merupakan pensijilan yang mengesahkan bahawa produk sawit yang dihasilkan adalah melalui kaedah yang mampan iaitu tidak mencemarkan alam sekitar, menggunakan kaedah yang selamat dan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP). Perkataan MSPO adalah ringkasan daripada Malaysian Sustainable Palm Oil Certificate atau Persijilan Minyak Sawit Mampan.
Apa yang perlu diberi perhatian tentang kaedah Mampan?
Gambar 1 : Tiga Elemen Dalam Kaedah Mampan
Kenapa dengan tiga elemen ini?
1-People (Manusia)= iaitu kita, keluarga kita, pekerja kita, orang kampung kita atau sesiapa berada berhampiran dengan kita.
2-Planet (Alam Sekitar) = Sudah pastinya setiap apa yang kita buat, kita perlu memastikan alam sekitar kita terpelihara. ini kerana, pencemaran memberi kesan kepada semua hidupan bukan sahaja kepada kawasan kita bahkan seluruh dunia.
3-Profit (Keuntungan) = Apabila kita berniaga, pastinya yang kita harapkan adalah keuntungan. Bagaimana kita tahu kita untung atau rugi? semuanya tercatat dengan adanya susunan maklumat yang betul dan terurus.
Semua pihak perlu sedia maklum bahawa pelaksanaan pensijilan MSPO secara MANDATORI menjelang 31 DISEMBER 2019 oleh industri sawit Malaysia.
Sebenarnya apa tujuan Kerajaan 'Mencipta' MSPO ni ?. MSPO bertujuan untuk:
1. Memenuhi matlamat negara ke arah penghasilan produk sawit mampan;
2. Memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang berkehendakkan produk sawit mampan;
3. Memastikan penerimaan minyak sawit Malaysia oleh pasaran global.
Bagi Pekebun Kecil Persendirian berminat untuk menyertai skim pensijilan MSPO yang dikendalikan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), sila muaturun borang yang disediakan oleh pihak MPOB atau boleh dimuat turun di SINI.
Apakah Prosedur untuk mendapatkan Persijilan MSPO bagi Pekebun Kecil
Rujuk Gambar 2.
Gambar 2 : Prosecur Persijilan MSPO Bagi Pekebun Kecil
Jadi apa tunggu lagi, Muat Turun Borang Permohonan di SINI sekiranya belum membuat permohonan. Atau, boleh datang ke PPOM. Kami akan cetakkan borang permohonan MSPO untuk anda.
Tujuh Prinsip MSPO yang perlu anda tahu
Gambar 3 : Tujuh Prinsip MSPO
Jadi habis kita cerita sikit pasal MSPO, ada yang tanya, "apa kebaikan atau faedah kita dapat dengan adanya MSPO?. Macam banyak buang duit saja., kami ni sudahlah pendapatan kecil, buang duit lagi urus MSPO". Biasakan kita dengar Pekebun Kecil mengeluh begitu?. Ya, awalnya nampak macam tu. Tapi percayalah, lepas mereka mulai ikut kursus MSPO yang diberikan oleh pihak MPOB, mereka akan dapat memandang 10 faedah Persijilan MSPO.
Apa faedah dengan adanya MSPO terutamanya kepada Pekebun Kecil ?
1. Hasil Buah Tandan Segar (BTS) akan meningkat kerana diuruskan dengan cekap.
2. Bila hasil meningkat, pendapatan akan meningkat.
3. Penghasilan berterusan BTS berada pada tahap maksima
4. Peluang pemasaran BTS mampan lebih luas dengan kualiti terbaik.
5. Hak Pekebun Kecil Lebih Terjamin
6. Akses kepada Pinjaman atau Modal Pelaburan daripada Pihak Bank
7. Persekitaran lebih sihat untuk generasi akan datang
8. Pekebun Kecil mempunyai rekod pengurusan ladang yang menyeluruh.
9. Meminimakan penyalahgunaan Lesen MPOB dan kecurian BTS
10. Keyakinan dan Kepuasan Pihak Berkepentingan (Stakeholders)
Mari Bersama PPOM Ke Arah Persijilan MSPO
0 Comment to "PENGENALAN MENGENAI MSPO"
Catat Ulasan